Kerjaya kelab Federico Dimarco

Inter Milan

Sebagai pemain lepasan akademi Inter Milan, Dimarco melakukan penampilan sulungnya untuk kelab itu pada 11 Disember 2014 semasa berusia 17 tahun dengan menggantikan Danilo D'Ambrosio pada minit ke-84 permainan dalam perlawanan yang berakhir dengan keputusan terikat seri tanpa jaringan menentang Qarabağ dalam peringkat kumpulan kejohanan Liga Europa.[1][2] Beliau telah dipanggil untuk menghadapi aksi Serie A buat pertama kali pada 1 Februari 2015 tetapi tidak diberi peluang untuk beraksi ketika pasukannya tewas 1-3 kepada Sassuolo di gelanggang lawan.[3] Dimarco melakukan penampilan pertamanya di Serie A pada 31 Mei 2015 iaitu pada hari terakhir musim ketika pasukannya melakar kemenangan 4-3 ke atas Empoli selepas beliau menggantikan Rodrigo Palacio pada minit ke-89 permainan.[4]

Ascoli

Pada Januari 2016, beliau telah dipinjamkan ke kelab Serie B, Ascoli di bawah rundingan selama enam bulan.[5] Pada 6 Februari, Dimarco melakukan penampilan sulungnya untuk Ascoli pada aksi Serie B menentang Latina sebelum beliau telah digantikan oleh Dario Del Fabro pada minit ke-81.[6] Dimarco menamatkan kariernya di Ascoli dengan melakukan 15 penampilan dan melakukan empat bantuan jaringan gol.[7]

Empoli

Beliau telah dipinjamkan ke Empoli selama satu musim penuh.[8] Pada 28 Ogos 2016, beliau tampil dalam perlawanan pertamanya untuk Enpoli ketika pasukannya menentang Udinese sebelum beliau digantikan oleh Marco Zambelli pada minit ke-69 permainan.[9] Beliau menamatkan tempoh pinjamannya di Empoli dengan melakukan 13 penampilan tetapi pasukannya itu berdepan penyingkiran ke Serie B.

Sion

Pada 30 Jun 2017, Dimarco telah dijual ke Sion[10] dengan nilai perpindahan sebanyak 3.91 juta euro.[11] Pada 23 Julai 2017, beliau melakukan penampilan sulungnya untuk Sion pada perlawanan Liga Super Swiss menentang Thun. Beliau telah digantikan oleh Quentin Maceirais pada minit ke-41 perlawanan ekoran mengalami pergeseran pada kakinya.[12][13]

Kembali ke Inter

Pada 5 Julai 2018, Inter mengaktifkan klausa pembelian-balik untuk membawa masuk semula Dimarco dengan perpindahan yang bernilai 7 juta euro.[14]

Parma

Pada 7 Ogos 2018, Dimarco telah dipinjam ke Parma berserta pilihan untuk dibeli secara tetap.[15] Pada 12 Ogos, beliau melakukan penampilan sulungnya untuk Parma pada pusingan ketiga Coppa Italia menentang Pisa.[16] Pada 16 September, beliau telah menjaringkan gol pertamanya di Serie A ketika pasukannya mengatasi Inter 1-0 di San Siro.[17]

Hellas Verona

Pada 31 Januari 2020, Dimarco berpindah ke Hellas Verona secara pinjaman sehingga akhir musim bersama pilihan untuk dibeli secara tetap.[18][19]

Rujukan

WikiPedia: Federico Dimarco http://www.soccerway.com/players/federico-dimarco/... http://www.uefa.com/uefaeuropaleague/season=2015/c... http://www.uefa.com/uefaeuropaleague/season=2015/m... http://www.fcinter1908.it/ultimora/dimarco-inizia-... http://www.gazzetta.it/calcio/nuove-forze-calcio/0... http://www.inter.it/en/squadra/G0955 http://www.inter.it/it/news/71177 http://www.inter.it/it/news/74135/federico-dimarco... http://www.inter.it/it/news/81661/federico-dimarco... http://www.legaseriea.it/it/serie-a/calcio-mercato...